KUCHING: Penglibatan aktif Kerajaan Sarawak bersama-sama agensi negeri dalam industi petroleum akan meningkatkan modal insan rakyat dalam sektor berkaitan, industri sokongan seperti pembuatan dan kewangan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, SEDC Energy merupakan entiti yang memainkan peranan penting untuk memperkasakan industri gas dan petrokimia negeri ini.
Ia mencerminkan peningkatan menjalankan perniagaan, kata Ketua Menteri.
“Dengan peningkatan menjalankan perniagaan hasil daripada pengecualian Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, Sarawak akan terus mengorak langkah mewujudkan ekosistem industri hiliran berdaya saing dan mampu menarik pelaburan,” katanya pada majlis penyerahan Surat Pengecualian Kawal Selia Gas Petroleum Cecair (LPG) di negeri Sarawak kepada SEDC Energy Sdn Bhd di sini.
Pengecualian itu merupakan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan ke atas kapasiti Kerajaan Sarawak serta kemampuan organisasi korporat dan rakyat Sarawak untuk mengawal selia dan mempunyai keterlibatan yang lebih bermakna dalam industri minyak dan gas di negara ini.
“Kedua-dua perkara ini akan membolehkan Sarawak mengambil peranan yang lebih aktif dalam industri minyak dan gas seperti aspirasi Kerajaan Sarawak selama ini demi kemajuan Sarawak dan kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.
Ketua Menteri menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang masih meneruskan pengecualian pemakaian PDA 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA) bagi kawal selia LPG di negeri ini.
Abang Johari turut menzahirkan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana bersetuju dan memutuskan supaya pengecualian pemakaian PDA dan CSA bagi kawal selia LPG di negeri ini kepada SEDC Energy Sdn Bhd.
Menurutnya, dengan berkuatkuasanya Ordinan Pengedaran Gas (DGO) pada 1 Julai 2018, wujud keperluan untuk mendapatkan pengecualian daripada PDA 1974 dan CSA 1961 daripada Kerajaan Persekutuan, bagi aktiviti pengedaran dan kawal selia gas di Sarawak dengan lebih berkesan serta mengurangkan kerenah birokrasi.
Beliau berkata, dengan terpakainya DGO itu, sebagai satu-satunya perundangan, punca kuasa bagi kuasa kawal selia LPG di negeri Sarawak, Kemenetrian Utiliti Sarawak berperanan memastikan bekalan LPG berjalan lancar.
Ketua Menteri turut mengucap terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kerana selepas sekian lama perkara itu dimohon oleh Kerajaan Negeri (semenjak 2016), akhirnya perkara itu dapat direalisasikan.
Beliau memberi jaminan Kerajaan Sarawak akan sentiasa mengenal pasti peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan KPDNHEP bagi menggalakkan pertumbuhan perdagangan dalam negeri demi kemajuan ekonomi Sarawak dan membawa kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Sumber dari : Jiwa Bakti